Selasa, 30 November 2010

Ringgit dijangka cecah RM2.20 berbanding dolar AS menjelang 2012: MIA

KUALA LUMPUR - 29/11/2010: Ringgit dijangka mencecah RM2.20 berbanding dolar AS menjelang 2012, berikutan pengukuhan berterusan mata wang tempatan itu, kata Presiden Persatuan Pelabur Malaysia (MIA), Datuk Dr P.H.S. Lim.

"Ringgit, serta mata wang Asia yang lain, semakin menarik dan laris disebabkan oleh masalah kewangan selanjutnya dalam kesatuan Eropah dan memomentum ekonomi AS yang semakin perlahan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Lim berkata keluaran dalam negara kasar Asia dijangka mencecah 7.1 peratus berbanding purata global iaitu 4.8 peratus bagi 2011. Beliau berkata Rizab Persekutuan AS sedang menyerap bil Perbendaharaan bernilai AS$600 bilion dan pada masa yang sama, mencetak lebih banyak wang kertas baru.

"Ini menyebabkan beberapa kerajaan menyarankan emas digunakan sebagai rizab, sekali gus menyebabkan harga emas melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah pada AS$1,364 bagi seauns," katanya.

Lim berkata, kerajaan AS terus memberikan tekanan kepada China untuk memperkukuh renminbi agar barangan China kurang berdaya saing.
Bagaimanapun, kata Lim, mata wang bukan satu-satunya faktor dalam pengeluaran dan perkhidmatan.

"Upah AS terlalu tinggi dan merupakan 60 peratus daripada keseluruhan kos pengeluaran dan perkhidmatan," katanya sambil menambah bahawa perang perdagangan dan mata wang saling berkait.

"Kita telah melihat perang perdagangan AS-Jepun dalam tahun-tahun 80-an dan sejarah sentiasa berulang. Sesetengah negara mencadangkan agar mata wang Amerika digantikan sebagai mata wang dan rizab antarabangsa," katanya.

Malah, banyak bank pusat meletakkan rizab di bawah nilai mata wang lain dan emas, katanya.

Beliau berkata pengurus dana, pelabur antarabangsa terus membeli emas dan wang panas memburu aset Asian dan Brazil, Russia, India dan China, hingga mencetuskan kebimbangan tentang inflasi.

Lim berkata, EU menghadapi satu lagi pusingan krisis kewangan dan memerlukan 440 bilion (1 Euro=RM4.14) bagi langkah-langkah menyelamat anggota-anggotanya yang dibelenggu hutang.

EU dan tabung Kewangan Antarabangsa telah menubuhkan dana bernilai 750 bilion untuk membantu Greece pada Mei, katanya.

"Kini Sepanyol menghadapi kemungkinan berlakunya krisis kewangan. Beberapa negara anggota tidak begitu gembira untuk menyediakan dana tambahan bagi kestabilan kewangan Eropah.

"Keadaan ini mungkin mendorong mata wang dan harga emas di Asia meningkat lagi," katanya. - BERNAMA

Selasa, 9 November 2010

Emas pengukur pergerakan mata wang

LONDON 8 Nov. - Ketua Bank Dunia, Robert Zoellick menggesa pemimpin-pemimpin ekonomi dunia mempertimbangkan penggunaan semula emas dalam sistem monetari sebagai pengukur dalam pergerakan mata wang.

Beliau membuat cadangan itu kerana bimbang berlaku 'peperangan mata wang' dalam suratnya yang diterbitkan dalam Financial Times.

Zoellick berkata, sistem itu perlu terlibat dalam dolar, euro, yen, pound dan renminbi yang kini diperdagangkan di peringkat antarabangsa.

''Sistem ini juga boleh mempertimbangkan penggunaan emas sebagai rujukan antarabangsa bagi jangkaan pasaran berkaitan inflasi, deflasi dan nilai mata wang hadapan,'' tambahnya.

Amerika Syarikat (AS) kini semakin konsisten mengkritik China kerana menurunkan nilai renminbi dengan tujuan untuk mengambil faedah dalam pasaran eksport.

Ekoran kritikan itu, China membalas balik dengan mencetak AS$600 bilion (RM1.8 trilion) duit baru sambil mendakwa untuk memberi AS kelebihan persaingan.

''Sekiranya polisi domestik adalah polisi optimum bagi AS, tetapi pada masa sama ia bukan polisi optimum bagi dunia, ia mungkin membawa banyak kesan negatif kepada dunia,'' menurut Ketua Bank Negara China, Zhou Xiaochuan.

China melahirkan kebimbangan polisi monetari Rizab Persekutuan AS akan mengurangkan nilai dolar, menyebabkan eksport negara itu merosot.

Berikutan itu, China menggesa pemantauan terhadap pergerakan dolar AS semasa mesyuarat G20 di Seoul pada minggu ini.

Standard emas dipinggirkan oleh bekas Presiden AS, Richard Nixon pada 1971 kerana nilai dolar jatuh menjunam berbanding emas.

Emas dipercayai boleh membantu menangani inflasi tetapi ia tidak dibenarkan bagi polisi monetari fleksibel, yang mana kebanyakan pakar ekonomi mendakwa ia perlu dalam menangani kejutan ekonomi. - AFP

sumber: Utusan Online